Sempena ulangtahun kemerdekaan negara kita ke-53, empat syarikat konsesi lebuh raya negara bersetuju memberi diskaun 20  peratus manakala sebuah lagi syarikat konsesi iaitu Lingkaran Transkota  Sdn Bhd (LITRAK), memberi laluan tol percuma kepada pengguna Lebuhraya  Damansara-Puchong (LDP). 
Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor  berkata tol percuma untuk pengguna LDP akan bermula dari jam 12.01 pagi  31 Ogos sehingga tengah malam hari kemerdekaan. Tol percuma ini bukan hanya terhad pada kenderaan persendirian malah diberi kepada semua jenis kenderaan termasuk kenderaan perdagangan seperti teksi, bas dan lori. Sementara itu, tiga syarikat konsesi lain iaitu Plus Expressway Berhad  (Lebuhraya Utara Selatan dan Lebuhraya Seremban-Port Dickson), Linkedua  Sdn Bhd (Johor Baharu ke Singapura) serta Elite Sdn Bhd (Lebuhraya Utara  Selatan Hubungan Tengah) bersetuju memberi diskaun 20 peratus pada 31  Ogos dan 1 September ini malah pemberian diskaun tol itu hanya untuk pengguna lebuh raya kelas pertama sahaja (kereta persendirian). Diskaun 20 peratus itu hanya akan diberi kepada pengguna yang melalui  lebuh raya berkenaan dari jam 12 tengah malam hingga 7 pagi pada 31 Ogos  dan 1 September. Bagaimanapun di lebuhraya Linkedua yang menghubungkan Johor dan  Singapura, diskaun itu tidak akan dinikmati oleh pengguna lebuh raya  yang memasuki Tol Tanjung Kupang.


0 comments:
Post a Comment